Tuesday, June 29, 2010

INFO KEWANGAN

Assalamualaikum

Dah lama aku tak update blog ni,rasanya dah jadi sarang semut rasanya......heheheehe
maklumlah sibuk keje dan merindui keluarga diMalaysia yang terpaksa aku tinggalkan demi mencari rezeki....so aku kenalah berbanyak2 bersabar
aku tak tau nak cerita apa kat sini sebab aku dah boring tahap nak gila dah kat sini ( wakakakakaak )kalau dah gila nak kerja macamana ek????????
almaklumlah dah lama berjauhan dari keluarga......sekarang ni time lunch,aku tak tau nak buat apa....aku pun menulislah apa2 yang patut aku tulis(tulis yang tidak menyakitkan hati sesiapa yang membacanya)
so..... arini aku nak kongsi info ni dengan korang semua tentang info kewangan.harap2 ianya dapat mengubah fikiran kita
“Perbelanjaan hidup saya jauh lebih besar daripada pendapatan, mungkin kami boleh dikatakan hidup berasingan.”
Jarang sekali kita mendengar orang bertanya kepada kita, “Bagaimana hubungan kamu dengan duit kamu?” Soalan ini agak sensitif tetapi secara jujur, jika anda diajukan soalan ini, bagaimana anda akan menjawapnya? Adakah anda berdua masih “bercakap” di antara satu sama lain, hidup berasingan atau yang lebih teruk lagi, “bercerai”? Memahami hubungan anda dengan duit amatlah penting dalam membantu anda menguruskannya dengan baik.

Bagaimana pula dengan Masa Silam Saya?

Untuk memahami hubungan anda dengan duit, mari imbas kembali sewaktu anda sedang membesar. Kemungkinan besar, persepsi anda tentang duit dibentuk oleh orang dewasa disekeliling anda. Anda mungkin mendapat pelbagai perasaan dan idea tentang duit daripada keluarga anda.

Jika ahli keluarga anda perlu bekerja keras, anda mungkin fikir bahawa membuat duit memerlukan kerja yang banyak dan berjam-jam. Jika ada perselisihan faham tentang duit, anda mungkin rasakan bahawa berbincang tentang duit membuatkan orang marah atau takut. Jika keluarga anda mendapat bantuan kerajaan, anda mungkin rasa sedih, berterima kasih atau malu. Jika anda mendapat duit ketika kecil, anda mungkin rasa seronok atau bersalah. Anda mungkin rasa seronok dengan memiliki wang anda sendiri atau dapat membantu keluarga anda. Anda mungkin marah kerana perlu bekerja.


Bagaimana pula dengan Hari Ini?

Kadang kala, anda boleh mengetahui bagaimana perasaan anda terhadap sesuatu dengan menghabiskan sesuatu ayat dalam perkataan anda sendiri. Cuba siapkan ayat-ayat berikut seberapa banyak yang anda boleh dan perhatikan perasaan anda semasa anda menyiapkannya:

1. Ia amat mudah bagi saya untuk membelanjakan duit untuk.........................
2. Ia amat sukar bagi saya untuk membelanjakan duit untuk..........................
3. Saya suka mendapat duit kerana...............................
4. Saya risau tentang duit apabila.................................
5. Saya bertengkar tentang duit kerana................................
6. Menyimpan duit membuatkan saya rasa............................
7. Jika hari ini saya ada cukup duit, saya akan...........................
8. Bercakap tentang duit membuatkan saya..........................
9. Semasa saya membeli barang yang tidak saya perlukan, saya.....................
10. Saya tidak tahu bagaimana hendak mengurus duit saya kerana.....................
Bagaimana pula dengan Esok?

Cara yang terbaik untuk merancang masa hadapan adalah dengan memahami keadaan anda yang dahulu dan sekarang. Dengan mengetahui tanggapan dan perasaan anda tentang duit akan membantu anda mengajukan persoalan-persoalan penting. Jawapan anda pula boleh membantu anda membuat keputusan yang baik. Cuba ajukan soalan berikut dan ambil sedikit masa untuk memikirkan jawapannya.

• Berapakah jumlah duit yang cukup untuk keperluan dan kehendak saya?
• Bagaimanakah saya hendak mendapat duit yang saya perlukan?
• Bagaimana pula duit untuk kecemasan?
• Bagaimana pula duit untuk semua barang keperluan keluarga saya?
• Bagaimana saya boleh berhenti runsing tentang duit?
Bagaimanakah Perasaan Penduduk Malaysia Tentang Duit?

Anda perlu tahu tentang masa silam anda dan bagaimana ia memberi kesan kepada anda. Anda juga perlu memahami pengaruh persekitaran anda.

Umumnya, orang Malaysia menghargai duit. Kita selalu melihat kehidupan orang kaya dan ternama melalui filem, rancangan TV realiti, sukan, akhbar dan majalah. Tambahan pula, pengiklan menyuruh kita membeli, membeli dan terus membeli. Ramai orang beranggapan yang duit menjadikan mereka penting. Kita mula mempercayai yang “lebih baru dan lebih besar” adalah lebih baik. Kita lupa untuk merancang sebelum kita berbelanja.

Budaya kita membentuk pemikiran dan tingkah-laku kita. Mari kita dengan jujur tanya diri kita masing-masing: Tidakkah kita terfikir tentang orang-orang ternama dan ingin menjadi seperti mereka? Tidakkah tingkah-laku kita seperti watak yang kita lihat dalam TV, dalam filem atau pemain sukan (ya, anda semua yang mahu menjadi Beckham!)? Tidakkah kita membeli sesuatu kerana mahu menjadi seperti mereka yang berada dalam iklan tersebut (sesetengah orang mungkin mengakui yang baju kemeja-T Nike mereka sebenarnya memperbaiki permainan golf mereka!)?

Mengapa Orang Mahukan Duit?

Orang mahukan duit supaya mereka boleh hidup. Mereka mahukan duit untuk menjaga diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Tetapi orang juga mahukan duit kerana budaya kita memberitahu bahawa: Duit menjadikan anda penting. Duit adalah keyakinan diri. Anda adalah pendapatan anda.

Budaya kita juga memberitahu kita bahawa memiliki banyak benda akan menggembirakan kita. Apa yang kita lihat dan dengar, mencadangkan bahawa kita boleh membeli perasaan. Jika kita mengambil perhatian akan semua ini, jiwa kita boleh jadi kosong. Kita boleh menjadi muflis atau tidak gembira.

Apa Yang Duit Boleh Buat atau Tidak Boleh Buat?


Walaupun budaya kita mengatakan bahawa duit adalah jawapan kepada segala masalah kita, kita juga mendengar yang duit itu jahat: Duit adalah punca segala kejahatan. Duit menghancurkan! Mari kita lihat apa yang duit boleh buat dan tidak boleh buat:

“Ia boleh membeli sebuah rumah, tetapi bukan keselamatan.
Ia boleh membeli sebuah katil, tetapi bukan tidur.
Ia boleh membeli sebuah jam, tetapi bukan masa.
Ia boleh membelikan anda buku, tetapi bukan ilmu pengetahuan.
Ia boleh membelikan anda kedudukan, tetapi bukan penghormatan.
Ia boleh membelikan anda ubat, tetapi bukan kesihatan.
Ia boleh membelikan anda darah, tetapi bukan nyawa.”

Anda lihat, Duit bukanlah segalanya!

Apa Yang Duit Boleh Dapatkan Untuk Saya Hari Ini?
Dengan duit anda boleh menguruskan makan minum, tempat berteduh dan pakaian anda. Semua orang memerlukan semua ini untuk hidup. Anda juga menggunakan duit untuk perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan, penjagaan anak, pengangkutan, insuran dan pendidikan. Anda memerlukan banyak benda yang anda miliki dan perkhidmatan yang anda beli. Belian yang lain adalah kehendak – sebuah kereta baru, makan di luar, pakaian berjenama, percutian atau hanya cuba bersaing dengan jiran kita.

Kuncinya bukan berapa banyak duit yang anda miliki tetapi bagaimana anda menggunakannya. Perbelanjaan anda perlu mengikut nilai-nilai anda. Nilai-nilai murni andalah yang penting bagi anda. Ini memerlukan perancangan dan latihan. Melainkan anda menggunakan duit sebagai alat, dengan mudah ia boleh menjadi perangkap!

Apakah Yang Duit Dapat Buat untuk Masa Depan Saya?

Pilihan yang anda buat hari ini boleh mengubah masa depan anda. Apabila anda melakukan yang berikut, anda bukan hanya merancang untuk minggu depan, bulan depan atau tahun depan tetapi seumur hidup:

• Memilih untuk berbelanja atau tidak berbelanja
• Menyimpan duit untuk simpanan kecemasan
• Belajar kemahiran baru untuk mendapatkan atau mengekalkan pekerjaan
• Melangsaikan hutang
• Menjadi pembayar hutang yang baik supaya anda boleh mendapat pinjaman yang besar seperti pinjaman kereta atau rumah
• Mengajar anak-anak dan ahli keluarga tentang penggunaan duit yang betul
Begitulah! Sehingga anda mempunyai hubungan yang baik dengan duit, anda tidak akan boleh hidup bersamanya. Seperti pepatah ada mengatakan, “Seorang bodoh dan duitnya tidak akan kekal lama bersama.”
Minggu depan, kami akan membantu anda membuat perancangan kewangan yang betul dengan menetapkan bajet. Ia adalah suatu yang semua orang patut miliki tetapi tidak, sekurang-kurangnya belum lagi. Sehingga kita berjumpa lagi, mari “Mengamalkan Pengurusan Kewangan Berhemah Sebagai Budaya Hidup.”
Selepas memahami hubungan anda dengan duit dalam artikel pertama, mari kita buat satu perancangan kewangan yang mudah tetapi efektif, atau dalam dunia kewangan ia lebih dikenali sebagai Bajet. Topik ini mungkin sudah banyak ditulis sebelum ini tetapi ia amat penting ditekankan sekali lagi di sini kerana tidak ramai rakyat Malaysia yang memilikinya.

Apa itu Bajet?

Bajet hanyalah satu pelan perbelanjaan anda (ha, seronok bukan?). Ya, kebanyakan kita suka berbelanja tetapi tidak ramai yang dapat mengawal perbelanjaan mereka. Bajet adalah satu cara untuk mengimbangi duit yang anda miliki dengan duit yang anda belanjakan. Anda membuat satu perancangan dengan membuat pilihan. Anda putuskan pada apa yang anda akan belanjakan, berapa banyak yang akan dibelanjakan dan berapa banyak yang anda akan simpan.

Pelan anda berdasarkan pada pendapatan dan perbelanjaan. Pendapatan ialah duit yang masuk ke dalam poket anda. Perbelanjaan ialah perkara yang mengambil duit dari poket anda. Oleh kerana pendapatan setiap orang berbeza, pelan anda perlu padan dengan situasi anda (atau poket anda!). Bajet anda diasaskan kepada Matlamat, Keperluan dan Kehendak.

Mari kita lihat beberapa contoh:

MATLAMAT KEPERLUAN KEHENDAK
Memiliki sebuah Kereta
Memiliki sebuah Rumah
Berkahwin
Perniagaan sendiri
Memberikan pendidikan yang baik untuk anak
Pencen dengan selesa
Bersedekah
Makan Minum
Tempat Tinggal
Pakaian
Masa berkualiti dengan keluarga
Kereta/Motosikal
Telefon mudah alih
Komputer
Makan malam yang mewah
Banglo seperti-rumah peranginan
Pakaian mahal berjenama
Percutian mahal
Kereta mewah
Telefon canggih yang terkini
Komputer yang tercanggih
Dan lain-lain lagi...

Seperti yang anda boleh lihat di atas, kadang kala sukar untuk membezakan antara Keperluan dan Kehendak. Semakin lama, keperluan asas kita mungkin berkembang lebih daripada makan dan minum, tempat tinggal dan pakaian. Seorang juru jual mungkin akan melakukan kerjanya dengan lebih efektif dengan sebuah kereta (melainkan sistem pengangkutan awam kita amat efisien!). Pada zaman IT masa kini, telefon mudah alih adalah praktikal dan penting (malah murid sekolah juga berpendapat begitu!), begitu juga dengan komputer. Namun, terdapat kereta yang berharga RM30,000+, sementara ada juga yang RM300,000+; telefon mudah alih yang berharga RM100+ dan yang lain berharga RM1,000+ dan komputer yang berharga RM1,000+, sementara yang lain sehingga RM10,000+!
Kita cuma Perlu beberapa perkara tetapi Kehendak kita tiada penghujungnya! Sukarkah untuk membezakannya sekarang???

Mengapa Saya Perlu Ada Bajet?

Sesiapa yang ada pendapatan dan perbelanjaan, perlukan bajet. Perancangan boleh membantu anda menggunakan duit untuk mencapai matlamat anda. Anda boleh mempelajari dan melatih kemahiran yang diperlukan untuk membuat bajet. Pelan kewangan ini akan membantu anda mengawal kewangan anda. Anda dapat mengelak daripada masalah kewangan dan capai matlamat anda dengan lebih mudah.

Bagaimana Saya Boleh Mula Buat Bajet?

Untuk membuat satu perancangan kewangan, senaraikan Pendapatan dan Perbelanjaan Tetap anda, iaitu perbelanjaan yang tidak berubah dari bulan ke bulan, seperti sewa rumah, ansuran rumah dan kereta atau premium insuran. Perbelanjaan yang lain adalah Pemboleh Ubah, iaitu berubah-ubah dari bulan ke bulan, seperti bil air dan elektrik, pakaian atau hiburan.

Kemudian, anda perlu tahu bagaimana anda membelanjakan duit anda sekarang. Anda boleh buat begini dengan menulis apa yang anda beli dan berapa yang anda belanjakan. Ini akan mengambil masa dan usaha tetapi ia bermanafaat kerana, ia akan membantu anda melihat ke mana anda membelanjakan duit anda. Jangan terlalu terkejut dengan apa yang anda pelajari tentang diri anda dan duit anda!

Untuk 30 hari seterusnya, setiap kali anda berbelanja, catatkannya dalam buku perancangan (gunakan Excel spreadsheet, jika anda pandai teknologi), berapa yang anda belanja dan ke mana anda membelanjanya. Apabila anda membayar bil, mengisi minyak kenderaan, pergi menonton wayang, bersedekah/membayar zakat, malah membeli nasi lemak kegemaran anda daripada gerai makcik depan rumah anda, semuanya perlu dicatat.

Di hujung bulan, gunakan kalkulator untuk jumlahkan setiap kolum di bawah carta agar dapat lihat berapa banyak duit yang anda telah belanjakan dalam setiap kolum. Kemudian, jumlahkan semua kolum untuk melihat berapa banyak duit yang anda belanjakan dalam sebulan secara purata. Babitkan anak-anak anda juga kerana latihan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran matematik mereka tetapi, ia juga mendedahkan kepada mereka tentang konsep berbajet (namun satu amaran: mereka akan tahu bila masa yang terbaik untuk meminta permainan baru mereka!).

Bagaimana Saya Hendak Memutuskan Di Mana Untuk Berbelanja?

Dengan melihat semula spreadsheet/carta anda yang sudah siap, anda dapat melihat ke mana duit anda dibelanjakan. Membincangkan carta anda dengan kauselor atau dengan seorang yang anda kenal, yang mengurus duit dengan baik, adalah tindakan yang bijak.

Sebahagian besar duit anda digunakan untuk keperluan asas seperti makanan, rumah dan pakaian. Semua ini adalah keperluan dan anda akan sentiasa membelanjakan duit padanya untuk hidup tetapi anda boleh memilih berapa banyak yang perlu dibelanjakan. Perbelanjaan lain mungkin termasuk, membeli pakaian baru, pinggan mangkuk baru atau permainan baru untuk anak-anak anda. Ini pula adalah kehendak. Walaupun anda mungkin gemar membelanjakan duit cara ini, sebenarnya anda boleh hidup tanpanya.

Soalan berikut mungkin dapat membantu anda membuat keputusan tentang perkara yang perlu dilakukan:

• Perbelanjaan manakah yang tidak boleh dipotong?
• Berapakah perbelanjaan minimum yang saya perlukan untuk hidup?
• Perbelanjaan yang mana satu ialah Keperluan dan yang mana satu ialah Kehendak?
• Apakah yang akan berlaku jika saya menangguhkan beberapa perbelanjaan?
• Bolehkah saya membeli barang pengganti yang lebih murah?
Sekarang, setelah anda mengkaji carta anda dan membincangkan soalan di atas, anda sudah bersedia untuk membuat bajet peribadi anda. Catatkan berapa banyak duit yang anda perlukan untuk setiap jenis perbelanjaan dalam sebulan. Sebagai contoh: RM300 untuk makan minum, RM100 untuk pengangkutan, RM50 untuk simpanan dan sebagainya.

Cuba tetapkan matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Sebagai contoh matlamat jangka pendek: hadkan duit untuk makan minum kepada RM10 sehari, naik bas/LRT daripada memandu ke tempat kerja dan baca surat akhbar (jiran anda) untuk mencari hiburan keluarga secara percuma. Contoh matlamat jangka panjang: simpan RM1,000 untuk membeli peti sejuk baru (model yang jimat tenaga dan mesra alam adalah ideal!), melangsaikan hutang atau mungkin berpindah ke kawasan perumahan baru (atau setengah orang mungkin berkata, balik kampung!)

Bagaimana Saya Dapat Mematuhi Bajet?

Ini adalah bahagian yang mencabar! Ia akan memerlukan latihan dan disiplin diri untuk mematuhi bajet anda. Hanya anda seorang saja yang boleh mematuhi perancangan anda. Di sini ada beberapa cadangan yang boleh membantu anda terus mematahi bajet anda:

• Bayar bil yang diperlukan terlebih dahulu. Jika boleh, cuba aturkan supaya bil-bil anda tidak perlu dibayar serentak pada hari yang sama.
• Simpan duit setiap bulan, tidak kira berapa jumlahnya. Anda cuma mahu jadikan ia tabiat.
• Buat satu senarai sebelum anda pergi membeli-belah. Semasa anda membeli-belah, ingat perbezaan antara keperluan dan kehendak.
• Buat perancangan terlebih dahulu dan beli barangan ketika ada jualan murah. Membeli-belah di kedai diskaun dan pasar lambak. Kongsi barangan yang boleh digunakan semula dengan keluarga dan rakan.
• Jauhi daripada kedai atau tempat yang membazirkan duit anda!
• Pelajari cara-cara menyimpan duit daripada keluarga dan rakan, dan patuhi satu pelan.
• Rekodkan apa yang anda belanja dan berapa perbelanjaan anda. Jadikannya mudah dan senang untuk dibuat. (Tip: mungkin “buku kecil 555” amat berguna!)
• Bandingkan rekod ini dengan perancangan kewangan yang anda telah tulis supaya anda boleh lihat jika anda telah mematuhinya.
Bilakah Perlu Saya Ubah Bajet Saya?

Jangan panik atau kecewa jika anda tidak dapat mengikut bajet anda sepenuhnya. Ia mengambil masa dan memerlukan latihan untuk mengubah sebarang tingkah-laku, lebih-lebih lagi tabiat berbelanja! Anda mungkin perlu mengubah bajet anda mengikut perubahan keperluan anda dan keluarga anda. Jika pendapatan anda bertambah atau berkurangan, anda perlu mengubahnya. Yang penting anda mempunyai satu pelan dan anda dapat mengurus kewangan anda.

Akhir sekali, sentiasa ingat untuk “Mengamalkan Pengurusan Kewangan Berhemah Sebagai Budaya Hidup”
Anda mungkin pernah mendengar pepatah ini, “Apabila hujan, ia turun dengan lebat!” Ini adalah benar, lebih-lebih lagi dalam masalah kewangan kerana kesan gandaan. Oleh itu, kita dinasihatkan agar menyediakan satu Dana Kecemasan kita sendiri sebelum tsunami kewangan melanda!
Apakah yang dimaksudkan “Dana Kecemasan”?

“Dana kecemasan” biasanya adalah satu dana yang anda cipta untuk membayar perbelanjaan diluar jangkaan. Sebagai contoh:

• Tayar-tayar kereta anda perlu ditukar dengan yang baru.
• Rumah anda penuh dengan anai-anai dan memerlukan rawatan.
• Anak anda mempunyai masalah apendiks dan memerlukan pembedahan.
• Gigi geraham anda perlu dicabut.
• Tiba-tiba syarikat anda bankrap.

Senarai ini boleh berterusan panjangnya dan anda mungkin tidak mengalami hanya satu daripadanya, tetapi kesemuanya serentak! Itulah masanya “hujan lebat”!

Mengapa Saya Perlu Ada “Dana Kecemasan”?

Sepertimana yang dikatakan oleh Forrest Gump dalam filemnya “Life is like a box of chocolates… you’ll never know what you’ll get!” (“Hidup ini seperti sekotak coklat... anda tidak akan tahu apa yang anda akan dapat!”) Kehidupan setiap orang mempunyai turun naiknya, hari cerah dan hari hujan. Apabila anda menyimpan untuk waktu kecemasan, anda melindungi diri anda dan keluarga anda. Anda bersedia untuk situasi-situasi yang tidak diduga, pasa waktu itulah anda memerlukan lonjakan tambahan “Vitamin M” (duit kecemasan).

Amat mudah untuk terperangkap dalam hutang (lebih-lebih lagi hutang kad kredit dan “Ah Long”), jika anda tidak mempunyai duit simpanan. Anda tetap mahu membayar bil dan memastikan hutang kad kredit sentiasa rendah walaupun ketika sesuatu yang tidak diduga berlaku ke atas anda.

Oleh kerana tiada siapa yang tahu masa hadapan, semua orang memerlukan dana kecemasan.
Bagaimana saya boleh menyimpan, sedangkan saya tidak mempunyai banyak duit?

Anda mungkin berfikir yang tiada baki duit yang dapat disimpan selepas membayar semua bil. Ramai orang, tidak kira berapa banyak duit yang mereka ada, mengatakan mereka tidak dapat menyimpan. Itu adalah kerana perbelanjaan biasanya meningkat sehingga ia menggunakan semua duit lebihan anda.

Namun, hanya anda sahaja yang boleh mengubah keadaan ini. Begini caranya:

• Bayar diri anda sendiri terlebih dahulu
• Cipta satu “akaun simpanan automatik” yang membolehkan anda mengeluarkannya ketika kecemasan
• Turunkan perbelanjaan anda dengan hidup secara bijak
• Tetapkan beberapa syarat untuk menggunakan duit, iaitu syarat yang BENAR-BENAR ketat!
• Cuba sehingga anda berjaya tetapi jangan putusa asa!!
Apakah yang dimaksudkan “Bayar Diri Anda Sendiri Terlebih Dahulu”?

Pada kebanyakan masa apabila kita mendapat gaji, kita mula membayar untuk itu dan ini, dan kepada orang lain terlebih dahulu, hanya selepas itu kita menyimpan bakinya. Ini adalah terbalik. Ia adalah duit anda dan anda berhak menyimpan sebahagiannya untuk diri dan keluarga anda.

Jangan berputusa asa jika anda hanya dapat menyimpan sedikit. Menyimpan satu Ringgit sehari atau RM10 seminggu, mungkin tidak banyak tetapi dihujung tahun, anda akan mempunyai RM365 atau RM520. Seperti pepatah Melayu ada mengatakan,“Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit!” Adalah lebih baik untuk menyimpan sedikit setiap minggu daripada cuba menyimpan dengan banyak dan gagal.

Jadi, kuncinya ialah menjadikan tabiat menyimpan duit setiap kali mendapat gaji. Apabila anda menyimpan terlebih dahulu, anda akan dapat memastikan perbelanjaan mengikut baki duit yang ada. Jika anda tidak nampak duit, anda tidak berpeluang untuk membelanjakannya. Seperti yang dikatakan, “Out of sight, out of mind!” (“Apa yang tidak dapat dilihat, tiada dalam minda!”).

Berapa banyak yang patut saya simpan?

Sebagai garis panduan, sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda. Walaubagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan selalu. Adalah lebih baik bermula dengan jumlah yang anda selesa dan secara perlahan-perlahan menuju ke arah matlamat itu. Sudah tentu jika anda boleh simpan lebih, itu adalah lebih baik.

Matlamat anda adalah untuk mencipta dana kecemasan yang cukup untuk tiga ke enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Anda boleh melakukannya dengan cuba menyimpan perbelanjaan seminggu, kemudian dua minggu dan secara perlahan bertambah kepada sebulan dan seterusnya.

Ingat: Mendapat tabiat meyimpan adalah lebih penting daripada berapa banyak yang anda simpan!

Di manakah saya patut menyimpan “Dana Kecemasan” saya?

Dana kecemasan anda patut disimpan dalam satu akaun yang senang untuk anda keluarkan dalam waktu-waktu kecemasan. Namun ia tidak patut menjadi terlalu senang untuk anda menggunakannya dengan sesuka hati anda. Anda mungkin memilih untuk membuka Akaun Simpanan dengan bank tetapi memilih untuk tidak memiliki kad ATM. Alternatifnya, anda juga boleh memilih untuk melabur sebahagian darinya ke dalam dana Amanah Saham kerajaan. Pilih dana yang memastikan keselamatan kepada kapital anda sementara memberikan pulangan yang berpatutan.

Apabila anda mendapat pendapatan, ingat untuk membayar diri anda sendiri terlebih dahulu. Cara yang mudah untuk melakukan ini ialah dengan berdaftar dengan skim potongan gaji. Anda boleh mengarahkan majikan anda atau bank anda untuk menyimpan sebahagian daripada gaji anda ke dalam akaun simpanan/amanah saham anda setiap bulan. Ingat bahawa akaun ini adalah untuk kecemasan sahaja dan seboleh yang mungkin, anda tidak akan menggunakannya untuk tujuan lain!

Bagaimana saya boleh tahu bila “Dana Kecemasan” dapat digunakan?

Keputusan ini bergantung pada situasi anda. Anda perlu memikirkan hal ini dengan lebih awal. Masih ingatkah perbincangan kita tentang menetapkan syarat? Buat beberapa syarat untuk situasi yang anda boleh gunakan duit ini, supaya anda tidak membazirkannya. Kemudian patuhi syarat-syarat anda sendiri!

Soalan-soalan berikut mungkin boleh membantu anda dalam menetapkan beberapa syarat:

• Adakah perbelanjaan ini satu Keperluan atau Kehendak?
• Adakah saya benar-benar perlu membelinya hari ini?
• Apa yang akan berlaku jika saya tidak membelanjakannya sekarang?
• Bolehkah saya mendapat pengganti yang lebih murah?
• Adakah cara lain untuk saya membayar perbelanjaan ini tanpa perlu berhutang?
• Jika saya menggunakan duit ini hari ini, bagaimana perasaan saya tentang keputusan
saya ini pada bulan depan?

Sentiasa ingat bahawa ini adalah “Dana Kecemasan” anda dan jika ia bukan kecemasan, anda tidak akan menyentuhnya! Tiada alasan!
Kesimpulan

Terdapat satu lagi pepatah Melayu yang mengatakan bahawa kita patut sediakan payung sebelum hujan. “Dana Kecemasan” ini adalah payung kita dan pastikan ia cukup besar untuk melindungi anda apabila hujan (tetapi pastikan tidak ada kebocoran!)
Jadi, mula bina dana ini sekarang dan ia mungkin penyelamat anda suatu hari nanti.
Apa yang naik dan tidak akan jatuh? Selain daripada umur anda, harga barangan dan perkhidmatan adalah jawapan yang munasabah! Hakikatnya pada akhir-akhir ini, banyak telah diperkatakan tentang kenaikan harga makanan dan minyak di seluruh dunia. Dengan harga yang meningkat dan pendapatan kekal sama, amatlah penting untuk kita mempelajari bagaimana untuk hidup dengan cermat.

Apakah yang dimaksudkan dengan menjadi Cermat?

Kita mungkin tidak menyukai perkataan ini dalam kehidupan seharian kita tetapi, hari ini kita akan lebih kerap mendengarnya. Tanyalah nenek moyang kita, dan selalunya mereka akan memberitahu yang gaya hidup mereka sinonim dengan perkataan ini. Hari ini, orang mungkin berpendapatan lebih daripada nenek moyang mereka, jauh lebih banyak, tetapi entah bagaimana, duit kita sentiasa tidak mencukupi, apatah lagi untuk menyimpan. Tidak hairanlah kerana pada masa dahulu, anda boleh membeli semangkuk mee dengan harga lima sen tetapi pada hari ini, peminta sedekah pun akan merungut dengan lima sen yang anda beri kepadanya!

Bercermat atau berjimat cuma bermaksud mengurus demi untuk menyimpan. Bermakna, anda mendapat sebanyak mungkin duit anda. Orang yang cermat sentiasa mencari jalan untuk menjimat masa, duit dan tenaga, dan di sini kami tegaskan yang bercermat bukan bermakna menjadi kedekut atau “kiam-sap” seperti kata orang-orang Hokkien.

Bagaimana saya boleh Bercermat atau Berjimat?

Terdapat banyak cara untuk hidup dengan duit yang sedikit dan di bawah adalah beberapa cadangan yang dapat membantu anda berhemat dengan wang Ringgit anda:

• Kurangkan perbelanjaan harian anda – sebelum anda membeli sesuatu, tanya diri anda:
1. Adakah saya betul-betul perlukan ini?
2. Bolehkah saya mendapatnya di tempat lain pada harga yang lebih murah?
3. Bolehkah saya mendapatnya secara percuma?

• Batalkan sesuatu yang menelan perbelanjaan yang besar daripada bajet anda – tidak menggunakan kereta (aduh!) dan jimat duit minyak, membaiki kereta, cukai jalan, insuran kereta dan tol atau, cadangan yang kurang menyakitkan, cuba turunkan taraf kereta anda, seperti membeli kereta yang berkapasiti lebih rendah.

• Kurangkan penggunaan – tutup semua lampu apabila tidak digunakan dan gunakan lampu yang jimat tenaga, kurangkan penggunaan hawa dingin, basuh pakaian dengan muatan penuh dan keringkan pakaian di luar (daripada menggunakan mesin pengering) dan tutup semua alatan elektrik apabila tidak digunakan.

• Kurangkan sampah – gunakan kertas di kedua-dua belah muka surat (jika dibenarkan, buat catatan tanpa kertas!) dan gunakan kain lampin daripada lampin pakai buang.

• Guna semula atau Kitar semula – jika boleh, jadikan sampah anda baja (yang boleh digunakan untuk menanam sayur anda sendiri!), usahakan kebun sayur dan tukarkan sampah anda kepada duit!

• Jadikan barang bertahan lebih lama – perbaiki pakaian, kasut digam semula dan baiki barang sebelum ia tidak boleh dibaiki lagi.

• Cari kegunaan baru untuk barangan lama – cat perabot lama, buat kuilt daripada pakaian lama, dan jadikan meja besar lama kepada meja tulis. Dalam erti kata lain, kitar semula, kitar semula dan kitar semula!

• Cari barang pengganti yang lebih murah – beli jenama umum, membeli-belah semasa ada jualan murah, menyewa daripada membeli

Anda juga boleh berjimat dengan memenuhi keperluan anda secara kreatif, dengan berkongsi bersama orang lain dan menggunakan sumber awam. Di sini terdapat beberapa cara lagi untuk berjimat:

• Cari hiburan yang percuma atau murah. (Kita akan membincangkan hal ini dengan lebih lanjut lagi, kemudian.)

• Berkongsi dalam pembelian yang besar
Perkongsian boleh membantu anda mendapat apa yang anda perlukan pada kos yang rendah. Sebagai contoh, mungkin anda berkongsi dengan jiran anda sebuah tangga, gerudi elektrik dan mungkin pembersih vakum. Anda juga boleh berkongsi banyak permainan anak anda dengan rakan dan ahli keluarga anda, dan berkongsi kereta untuk pergi dan balik kerja juga adalah satu lagi contoh yang baik.

• Bertukar barangan atau perkhidmatan.
Ya, kita hidup dalam dunia moden tetapi siapa kata yang kita tidak boleh mengamalkan pertukaran barangan? Sebenarnya anda boleh membuat pertukaran kepada semua jenis barang. Jika anda pandai menggunting rambut dan rakan anda pandai membuat kek, buat pertukaran kemahiran. Anda berdua mendapat apa yang anda perlukan dan anda berdua dapat jimat duit. Fikirkan tentang kemahiran anda, perkara yang anda gemar dan perkara yang anda lakukan dengan baik. Kemudian, fikirkan tentang kemahiran dan bakat rakan, ahli keluarga dan jiran anda. Bertanya kepada mereka yang anda kenali, yang mahu membuat pertukaran dengan anda. Mulakan dengan sesuatu yang mudah dan lihat bagaimana ia berjalan. Siapa tahu, anda mungkin memulakan satu lagi “eBay”!

Bagaimana saya boleh berjimat dalam Hiburan?

Ini adalah satu bahagian yang kita banyak berbelanja tanpa menyedarinya. Walaubagaimanapun, masih boleh mendapat hiburan secara percuma atau hampir percuma. Disebabkan anda cuba berjimat, tidak bermakna anda tidak boleh bergembira. Tidak kira berapa pendapatan anda, luangkan masa untuk relaks dan bergembira (sebab anda hanya hidup sekali!). Malah ia lebih penting apabila anda mempunyai duit yang sedikit. Tanpa keseronokan, sukar untuk hidup sihat. Di sini terdapat beberapa cadangan:

• Pinjam buku atau hadiri seminar/program percuma yang dianjurkan perpustakaan awam.
• Daripada pergi ke sinema, sewa video dan cuba buat sendiri kacang putih/biskut.

• Melawat museum, zoo atau taman tema dan nikmati udara segar (bergantung di mana anda berada!)

• Peka dengan konsert, program kanak-kanak dan aktiviti keluarga yang percuma daripada akhbar atau melalui pusat/laman web pelancongan.

• Ambil kelas yang murah melalui pendidikan komuniti, belajar kemahiran baru atau hidupkan minat lama. Malah anda boleh tukarkan hobi itu kepada bisnes.
• Hadiri sesi percuma bacaan buku orang dewasa dan kanak-kanak di kedai buku tempatan atau perpustakaan.

• Berjalan, mengembara dengan berjalan kaki atau berbasikal untuk meneroka suatu yang baru atau melawat tempat kegemaran.

• Lihat matahari terbit dan terbenam, cari gugusan bintang pada langit atau mungkin, mulakan satu projek bersama keluarga, seperti menanam pokok (pokok durian atau magga memang tepat sekali, kerana ia akan menjimatkan duit anda daripada perlu membeli buah-buahan!)


Jika anda rajin mencari (hanya perlu cari di Internet mengenai “gaya hidup cermat” atau “berjimat”, anda akan kagum dengan apa yang bakal anda jumpa!), terdapat banyak cara untuk menikmati hiburan yang baik dan pada kos yang rendah. Sebenarnya, satu lagi aktiviti yang menarik, yang mungkin anda perlu cuba ialah “memerhati orang”! Duduk di taman atau pusat membeli-belah dan anda perlu cuma perhati apa yang orang lakukan, bagaimana mereka berjalan, bercakap, ketawa dan bagaimana sesetengah ibu bapa “berkomunikasi” dengan anak mereka. Banyak perkara yang dapat dipelajari dengan hanya memerhatikan orang lain dan yang bagusnya, ia adalah PERCUMA!

Kesimpulan

Hidup dengan duit yang sedikit tidak bermakna kehidupan yang serba kekurangan. Ia lebih kepada hidup dengan lebih bermakna dan bersyukur, dan bukan hidup untuk orang lain. Bercermat dalam semua aspek kehidupan adalah asas membina kekayaan. Jika anda berimpian untuk mendapat kebebasan kewangan pada suatu hari nanti, tidak kira tahap atau status pendapatan anda, anda perlu jadikan pengurusan kewangan yang berhemah sebagai cara hidup.
“Nak pinjam ke tak nak pinjam…” itu biasanya bukan satu pilihan! Kebanyakan daripada kita akan perlu meminjam untuk membeli kereta pertama atau rumah pertama (malah untuk sebahagian daripada kita, untuk berkahwin!) Namun tidak ramai yang tahu prinsip asas meminjam. Sebelum kita berbincang mengenai meminjam, mula-mula mari kita memahami beberapa komponen utama suatu pinjaman.
Apakah Komponen Utama Pinjaman?
Semua pinjaman, sama ada pinjaman kereta, pinjaman rumah atau pinjaman peribadi, terdiri daripada tiga komponen utama: Kadar faedah, cagaran dan tempoh.
Kadar Faedah
Kadar faedah ialah caj yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kerana menggunakan duit mereka. Biasanya kadar faedah ditunjukkan dalam bentuk peratusan daripada jumlah pinjaman dalam setahun. Faedah yang dikenakan berdasarkan pengkompaunan (iaitu faedah-atas-faedah) dan ia boleh terdiri daripada pengkompaunan tahunan/ bulanan/ harian (satu lagi istilah yang digunakan ialah kiraan atas baki tahunan/bulanan/harian).
Terdapat dua jenis kadar faedah: tetap atau boleh ubah
Kadar tetap: tetap dan tidak berubah. Jika kadar faedah tetap anda ialah 6% setahun, ia akan kekal 6% setahun sepanjang tempoh pinjaman.
Kadar boleh ubah boleh bertukar mengikut masa dan biasanya ditetapkan pada kadar pasaran standard, seperti Kadar Pemberian Pinjaman Asas, BLR (BLR terkini = 6.75%). Sebagai contoh, anda mungkin mengambil pinjaman dengan kadar boleh ubah pada BLR + 1%. Ini bermakna, anda perlu membayar tambahan satu peratus kepada BLR atau berjumlah 7.75% setahun.
Cagaran
Semua pinjaman adalah sama ada bercagar atau tidak bercagar. Ini merujuk kepada sama ada pemberi pinjaman menghendaki anda mencagarkan aset, biasanya dirujuk sebagai cagaran, untuk menjamin pinjaman anda.
Jika anda mempunyai pinjaman bercagar, bermakna pemberi pinjaman anda boleh merampas aset jika anda mungkir menjelaskan hutang pinjaman. Oleh kerana terdapat cara alternatif pembayaran balik, faedah dalam pinjaman bercagar adalah lebih rendah berbanding dengan faedah pinjaman tidak bercagar.
Apabila anda membiayai pembelian kereta anda melalui pinjaman bank, anda sebenarnya adalah penyewa (bukan pemilik) kereta yang anda pandu sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman anda! Begitulah juga dalam kes pinjaman rumah, bank akan memiliki 'tuntutan pemilikan' terhadap rumah tersebut sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman rumah.
Dalam pinjaman tidak bercagar, tiada aset yang boleh dirampas oleh bank jika mungkir membayar balik pinjaman. Bersama dengan risiko ini, pinjaman tidak bercagar selalunya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi berbanding dengan pinjaman bercagar. Untuk mengurangkan risiko, institusi Pemberian Pinjaman kadang kala menghendaki orang ketiga menandatangani perjanjian bagi pinjaman tidak bercagar atau menjamin jumlah pinjaman.
Tempoh
Tempoh suatu pinjaman ialah jangka masa si peminjam perlu membayar balik pinjaman. Kebanyakan pinjaman peribadi/kereta mempunyai tempoh 3 ke 9 tahun, manakala tempoh pinjaman rumah adalah jauh lebih lama dan biasanya boleh mencapai sehingga 30 tahun! Tempoh adalah jangka masa maksimum untuk si peminjam membayar balik pinjaman mereka; pinjaman boleh dijelaskan sebelum tempoh tamat (tetapi mungkin denda akan dikenakan untuk penyelesaian awal!)
Apakah Prinsip Asas Meminjam?
Setelah memahami komponen-komponen pinjaman, kita sekarang sudah bersedia untuk mempelajari beberapa prinsip asas meminjam.
Prinsip 1: Meminjam untuk sesuatu yang anda perlukan – bukan yang anda mahukan.

Sebelum ini, kita sudah membincangkan tentang perbezaan antara Keperluan dan Kehendak, malah dalam situasi meminjam, perbezaan ini amatlah penting untuk kita fahami. Anda hanya perlu meminjam untuk suatu yang anda benar-benar perlu tetapi tidak mempunyai duit tunai untuk membayarnya. Sebagai contoh, untuk membeli rumah kita, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak kita dan untuk membeli sebuah kereta (kita akan bincangkan hal ini kemudian).

Prinsip 2:Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik.
Ini mungkin logik tetapi malangnya, ia bukan amalan biasa. Ramai orang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka bahawa ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal. Tidak perlu dikatakan, bila tiba masanya, mereka ini akan menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik dan perampasan kereta dan harta mula dikuatkuasakan. Sebagai contoh, krisis pinjaman terkini di Amerika Syarikat.
Adalah disarankan bahawa seseorang patut menghadkan jumlah bayaran balik pinjaman kepada, kurang daripada 1/3 pendapatan kasarnya.
Prinsip 3: Elakkan daripada meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai
Ini mungkin akan menyinggung sesetengah orang tetapi ia adalah prinsip yang baik untuk diikuti. Aset yang susut nilai adalah harta yang hilang nilainya mengikut masa, seperti kereta (melainkan anda “melabur” dalam kereta klasik), perabot dan kebanyakan barang dan peralatan rumah. Tidak memerlukan seorang profesor ekonomi untuk memberitahu anda bahawa meminjam dengan bunga yang agak tinggi (mungkin setinggi 20% setahun untuk sesetengah barang!) untuk membeli “aset-aset” ini, tidak ekonomik langsung. Barangan ini akan susut nilai dengan cepat sementara pinjaman anda berkurangan dengan agak lambat. Dalam situasi di mana anda tidak dapat menjelaskan hutang, barangan tersebut akan dirampas dan anda mesti menambah nilai yang kurang kerana aset susut nilai anda tidak cukup untuk menjelaskan baki pinjaman.
Cuba membeli barang-barang ini secara tunai dari simpanan anda daripada meminjam. Jika tidak, jangan beli (melainkan ia akan menguntungkan perniagaan anda!)
Prinsip 4: Elakkan Daripada Menjadi Penjamin
Seorang penjamin bertanggungjawab menjelaskan pinjaman dalam hal si peminjam mungkir membayar balik pinjaman atas apa saja alasan. Melainkan seorang itu bersedia untuk menunaikan tanggungjawab ini, seorang patut elak daripada menjadi penjamin.
Prinsip 5: Si Peminjam Mempunyai Komitmen Moral dan Mutlak Untuk Membayar Balik

Pernahkah anda bertemu dengan seseorang yang telah meminjam daripada anda tetapi masih belum membayar balik? Bagaimana anda rasa? Kecewa? Ditipu? Dikhianati? Ya, ia memang bukan satu perasaan yang baik dan anda tidak patut memberi sebarang alasan untuk tidak membayar balik hutang apabila anda telah berjanji untuk melakukannya.
Jika anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik, berbincanglah dengan si pemberi pinjaman agar dapat membuat pelan bayaran balik yang munasabah tetapi jangan sesekali diam atau lari. Jika tidak, jangan pinjam!
Kesimpulan
Jika anda perlu pinjam, pinjamlah! Walaubagaimanapun, pastikan anda sudah jelas memahami prinsip-prinsip meminjam sebelum memberi komitmen padanya. Setelah anda meminjam, hakikatnya anda telah membuat komitmen untuk membayar balik dan pastikan diri anda, sebagai seorang yang bertanggungjawab, menunaikan komitmen tersebut pada setiap masa.
Pada artikel yang lepas, kita telah berbincang mengenai 5 Prinsip Pinjaman. Marilah kita rumuskan apakah prinsip-prinsip tersebut sebelum kita teruskan perbincangan ini:

1. Meminjam untuk sesuatu yang anda perlukan – bukan yang anda mahukan.
2. Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik
3. Elakkan daripada meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai
4. Elakkan Daripada Menjadi Penjamin
5. Si Peminjam Mempunyai Komitmen Moral dan Mutlak Untuk Membayar Balik

Dalam artikel ini, kita akan berbincang mengenai 3 jenis hutang-hutang yang berbeza – agar kita dapat membuat perbandingan diantaranya sebelum “bekawan” dengannya.

Perbezaan diantara “Hutang Baik” dan “Hutang Tak Baik”?

Adakah jenis “Hutang Baik”? Ya, ada. Hutang ini membolehkan beban kewangan dijelaskan sepenuhnya. Meminjam untuk membeli rumah, pendidikan anak-anak, memajukan kemahiran dalam kerjaya, atau memulakan perniagaan sendiri akan membolehkan anda mendapat faedah kewangan jangka panjang.

“Hutang Tak Baik” adalah bila anda meminjam untuk sesuatu yang tidak mendatangkan apa-apa feadah kewangan atau barangan tersebut mempunyai jangka hayat yang lebih singkat daripada jangkamasa pinjaman barangan itu sendiri. Ini termasuklah pinjaman untuk bercuti, membeli pakaian, perabut, barangan rumah atau pun makan luar.
Di dalam proses mengasingkan pekara-perkara negatif berkaitan hutang, kita seringkali beranggapan bahawa berhutang adalah suatu perkara yang tidak berfaedah dan tidak produktif. Semestinya ia tidak benar kerana hutang boleh digunakan secara produktif oleh individu, peniaga mahu pun badan-badan kebajikan.
Untuk lebih memahami, mari kita lihat takrifan hutang yang produktif dan tidak produktif:
• Jika saya meminjam wang untuk beli satu pengalaman atau benda-benda yang tidak boleh saya bayar, dan menambah hutang dengan caj faedah tinggi, saya telah dibebani dengan hutang tidak produktif

• Jika saya meminjam wang untuk memperolehi satu aliran pendapatan yang menyumbang kepada pembayaran balik hutang, seperti pembelian lot kedai untuk disewa (kepada penyewa yang baik, harapnya!), Saya telah menggunakan hutang secara produktif.
• Jika saya meminjam wang menggunakan akaun margin untuk membuat spekulasi ke atas saham “panas” berdasarkan sembang-sembang/gossip, saya telah melibatkan diri dengan hutang yang tidak produktif dan berbahaya. Kesimpulannya, saya akan kehilangan wang (kebiasaanya) dan masih berhutang.

• Jika saya meminjam wang untuk membeli rumah, dan bercadang tinggal di rumah tersebut untuk masadepan yang dijangka, sekurang-kurangnya saya mungkin dapat mencapai “pulang-modal” sepanjang masa melalui peningkatan nilai rumah saya. Dalam mana-mana kes, ia akan menyelamatkan saya dari perlu membayar sewa sekiranya tidak membeli rumah, dengan ini, saya telah berhutang secara produktif.

• Jika saya meminjam wang untuk membeli sebuah kereta baru, dan berhutang lebih daripada 90% nilainya, saya akan terus menjadi tidak menentu dari segi penggunaan hutang jika kereta saya dicuri. Adakah anda sedar yang dalam kebanyakan kes, sebuah kereta susut nilai lebih kurang 1/5th dari nilainya sebaik sahaja bilik pameran ditinggalkan? Sebagai penanggung insurans, mereka hanya membayar nilai pasaran kereta anda pada masa kerugian, kekurangan terpaksa anda tanggung sendiri.
• Jika saya meminjam wang untuk memulakan satu perniagaan sendiri, saya boleh menghapuskan bunga terhadap pendapatan perniagaan saya yang mana boleh memberikan saya penjimatan cukai. Saya boleh juga menggunakan sejumlah pinjaman bagi mengembangkan lagi perniagaan dan ini adalah merupakan hutang produktif.
Pinjaman boleh menjadi produktif, sebagai aktiviti yang menjana kekayaan, atau ia akan menjadi pengalaman sebagai “hamba kepada peminjam”. Bijak pandai menggunakan hutang sebagai alat untuk menjana kekayaan, mendapatkan pengecualian cukai atau membesarkan pengurusan hartabenda. Bagi mereka yang kurang arif, kebiasaannya mereka merasakan yang hutang adalah alat untuk mendapatkan sesuatu yang mereka tiada berupaya mendapatkan melalui tabungan atau kesabaran.
Tidak semua hutang berbentuk tidak produktif. Keupayaan menguruskan kewangan secara berhemah membolehkan kita menjelaskan kadar bunga hutang dan juga membayar pokok nya sekali. Bila kita gunakan kaedah yang sama dalam perniagaan, hasilnya juga adalah sama. Aliran tunai yang dijana daripada hasil pinjaman mestilah mampu mengembangkan aliran pendapatan bagi membolehkan pembayaran balik tuntutan kredit dan pinjaman asal.
Bagaimana Dengan Hutang Jenis Ketiga?

Disebalik usaha-usaha terbaik yang dilaksanakan, anda masih lagi terjerumus dengan masalah hutang yang serius. Ini bukanlah jenis hutang yang anda ingin dapatkan tetapi keadaan tidak dapat dikawal. Ini masa nya yang teruk menjadi lebih teruk dan and terjebak. Tanda-tanda anda terjebak adalah seperti berikut:


• Meminjam lagi untuk membayar pinjaman terdahulu
• Pemiutang sering menggangu anda untuk mendapatkan bayaran
• Membuat bayaran minima untuk kad kredit
• Memaksimakan penggunaan kad kredit
• Meminjam untuk membayar bil-bil biasa
• Sukar mendapatkan pinjaman
• Kawan-kawan dan saudara mara mula menjauhkan diri
• Dan terakhir – simbahan cat merah di dinding rumah anda!

Bagaimanapun, anda belum terlambat dan tidak keseorangan. Bantuan ada berhampiran anda! Nasihat dari agensi kaunseling kredit boleh membantu anda bagi menyediakan pelan penyelesaian diantara anda dan kreditor anda bagi mengurangkan beban hutang anda. Apa yang perlu adalah kesungguhan dan displin diri untuk berubah bagi membolehkan anda menjalani kehidupan yang lebih berhemah.

Pedang Dua Mata
Hutang sememangnya seperti pedang dua mata. Sekiranya menggunakan secara bijak, maka anda dapat meningkatkan kekayaan dan memberikan faedah kewangan jangka panjang. Salah penggunaan, anda bukan saja terluka bahkan luka yang membawa maut! Oleh itu, sebelum anda mula “menghayunkan pedang” anda, pastikan anda tahu pergerakan yang sesuai serta mampu memikul tanggungjawab dari penggunaaannya.

“Pandai gunakan kad kredit?” Alangkah peliknya soalan ini – takkan saya tak tahu! Senang sahaja: Apabila membeli, berikan kad kredit kepada juruwang, kemudian letakkan tandatangan di resit yang diberikan (kadang-kadang saya tak perlu tandatangan pun, hanya lambai dan pergi!). Jika saya sentiasa bayarkan amaun minima bulanan, banyak pula dapati kredit percuma. Dan saya juga tak perlu risau jika perbelanjaan saya sudah sampai tahap maksima kad tersebut. Syarikat pengurusan kad kredit itu tentu akan menambahkan had kredit saya, dan syarikat-syarikat lain pula pasti akan menawarkan kad-kad yang lain sehingga saya pun tak terdaya untuk menggunakan semuanya!
Sering dengar kata-kata begini? Sudah tentu. Ini perkara yang tidak menghairankan sebab inilah pendekatan yang diambil oleh berjuta-juta pengguna kad plastik ini, seolah-olah membeli barang merupakan kegiatan yang sungguh mudah. Awas! Pengurusan kewangan yang sebegini telah memudharatkan kebanyakan keluarga. Apatah lagi dengan kenaikan harga barang-barang yang tidak ditandingi dengan kenaikan pendapatan. Kebanyakan orang Malaysia terpaksa berbelanja lebih dari kemampuan masing-masing. Hutang kad kredit ini mungkin kelihatan seperti isu yang agak kecil tetapi ia boleh menimbulkan masalah yang jauh lebih besar.
Fakta Kad Kredit
Pertama, marilah kita betul-betul memahami bagaimana kad plastik “ajaib” ini berfungsi. Kita diberi talian kredit, dengan had maksima yang boleh dicaj kepada kad – “had kredit”. Setiap kali kad ini dicaj melalui sebarang perbelanjaan (transaksi), kredit kita berkurangan. Penyata bulanan yang diterima memberi kita pilihan, samada untuk bayar baki sepenuhnya, atau hanya bayaran minima bulanan (tidak digalakkan). Apabila kita membayar bayaran bulanan kepada bank yang mengeluarkan kad, had kredit maksima dikembalikan. Walaubagaimanapun, pemegang-pemegang kad kredit seringkali hanya bayar jumlah faedah dan bayaran minima baki pokok yang terhutang, dan tidak akan bayar balik baki yang sepenuhnya.
Perangkap Belanja
Bagaimana agaknya seseorang itu boleh “terperangkap”? Bagi orang-orang muda, penyakit berhutang ini mungkin bermula dengan cara yang tidak diduga. Di kolej pengajian tinggi, sebahagian besar dari mereka diberi kad plastik tersendiri oleh ibubapa sebagai pemegang kad tambahan. Amboi! Banyak pula barang-barang yang perlu dibeli (contohnya, kasut serta pakaian jenama, i-Pod, beg dan barang fesyen yang “cun” dan paling terkini) dan pesta hiburan atau aktiviti sosial yang penting untuk dihadhiri! Bukankah amat leceh dan menyusahkan untuk meminta ibubapa tersayang setiap kali duit tambahan diperlukan (bukankah membazir wang untuk bayar kos telefon lagi?). Jadi, cara yang termudah dan tercepat – Caj sajalah!
Mungkinkah bidang pelajar menceburi dalam dunia berhutang ini sangat konfiden dan tiada ragu-ragu bahawa mereka akan bergaji tinggi tidak lama kelak – tentu hutang itu luput dalam jangkamasa yang singkat – hanya beberapa tahun selepas graduan. Malangnya, ramai graduan menghadapi bahawa realiti masa hadapan mereka jauh berbeza dari apa yang telah dijangkakan. Sekarang mereka sudah selesa dengan bilangan baki bulanan tersebut dan sedar bahawa mereka terperangkap: hutang yang terus meninggi tidak dapat ditandingi oleh kenaikan pendapatan mereka yang ala kadar.
Bukan orang muda sahaja yang dapati diri mereka terperangkap di dalam situasi begini. Malah, orang-orang dewasa yang berfikiran cukup matang juga tergoda dengan kemudahan kredit ini. Para iklan memaparkan barang-barang baru dan canggih yang kononnya “ganjaran” bagi kita! Ya, amat sukar bagi kita menolak kemewahan hidup dengan barang-barang rekreasi, pakaian dan perkakas-perkakas termoden, yang sering ditawarkan. Dalam situasi lain pula, orang yang tiada pekerjaan juga boleh terbabas dalam hutang kredit kad – simpanan wang pun tiada, kredit kad pula dijadikan kemudahan untuk menyara keperluan seharian. Akan tetapi, apabila mereka mula bekerja semula, mereka sedari bahawa kad kredit mereka sudah mencapai had maksima; pembayaran balik pun menjadi satu bebanan yang besar.
Walaupun kita tidak mahu berfikiran negatif, kita tidak akan mencegah masalah kewangan jika kita selalu mengendahkan realiti sebenar. Kemerosotan ekonomi membuatkan ramai orang terdesak dan terjatuh dalam malapetaka kewangan. Hanya mereka yang telah membuat persediaan untuk menghadapi situasi yang kurang baik sebegini akan dapat bertahan di dalam suasana yang sukar. Apakah harus dibuat untuk mengelakkan diri kita daripada menjadi sebahagian dari angka statistik yang menyedihkan?
Cara Pembayaran Balik Hutang Kad Kredit
Jika anda hanya membayar jumlah faedah kad kredit setiap bulan dan ingin memberhentikan hutang sebegini, langkah pertama adalah untuk menganalisa pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Jumlahkan perbelanjaan anda dan tolakkannya dari pendapatan. Inilah baki pendapatan yang boleh anda gunakan setiap bulan.
Langkah kedua: Hentikan bertransaksi melalui caj kredit. Bekukan penggunaan kredit kad anda (ya, betul – letakkan semua kad-kad kredit ke dalam kotak ais krim, isikan dengan air dan simpankan kotak itu dalam pembeku di peti ais!). Bayarlah barang-barang yang perlu dibeli secara tunai. Kemudian senaraikan hutang kad-kad kredit yang masih ada. Kenalpastikan kad yang mengenakan caj kewangan yang paling tinggi. Mungkin anda berpeluang untuk pindahkan baki dari kad berfaedah tinggi ke kad yang menawarkan kos yang lebih rendah (tentukan anda membaca semua info yang diberi supaya tidak dikenakan kos yang tersorok pula).
Seterusnya, susunkan kad-kad anda mengikut kadar caj kewangan, gunakan baki pendapatan untuk membayar balik kad yang paling mahal (kos tertinggi) tersebut. Setelah hutang kad termahal selesai, tutupkan akaun tersebut dan musnahkan kad itu. Kemudian ubahkan fokus anda ke kad yang seterusnya; teruskan langkah-langkah di atas sehingga kesemua hutang anda sudah habis. Sebaik sahaja hutang kad kredit anda luput, hanya simpan beberapa kad sahaja – hanya dua atau tiga untuk penggunaan yang boleh dikawal.
Cara Penggunaan Kad Kredit Yang Baik
Setelah menyelesaikan semua hutang kad kredit barulah anda boleh mempertimbangkan cara penggunaan kad-kad tersebut dengan betul. Kad kredit ini sebenarnya adalah alat pengurusan wang yang sungguh berkesan, jika digunakan dengan waras. Kita harus pandang kepada konsumer-konsumer yang berjaya menguruskan kewangan mereka dengan kad ini.
Pendekatan terpenting dalam penggunaan kad kredit adalah tanggungjawab anda untuk membayar jumlah baki dalam penyata anda setiap bulan. Bayangkan kredit kad itu sebagai wang tunai yang disimpan setiap bulan bagi barang-barang yang dicaj. Dengan perumpamaan ini, anda tidak akan dikenakan kos; kad kredit anda pula akan menjadi kemudahan kewangan yang amat berguna bagi anda. Kad kita menjadi seolah-olah pekerja kita dan kita pula bukan lagi dihambakannya.

Kad kredit juga adalah satu-satunya sekuriti atau perlindungan tambahan dan kemudahan sewaktu membeli-belah dan berjalan, dengan syarat kita tidak menyalahgunakannya. Sebagai contoh, anda mempraktikkan bayaran hanya 5% atau RM50 minima setiap bulan, yang mana lebih tinggi. Bagi baki RM10,000 yang mengenakan caj kewangan sebanyak 18% setahun, anda akan mengambil masa 7 tahun dan 3 bulan untuk menyelesaikan seluruh baki hutang anda. Dan ini juga dengan anggapan bahawa anda tidak lagi menambahkan caj (ingat, kad anda dalam pembeku peti ais!). Bayangkan betapa lajunya hutang anda akan meningkatkan jika apa yang dipraktikkan ini melibati banyak kad kredit lain pada masa yang sama.


Petua-petua tambahan yang boleh membantu:
• Ingat, kad kredit bukan wang percuma
• Hanya simpan satu atau dua kad, jangan sehingga lapan atau sembilan
• Cajkan hanya untuk barang yang anda mampu membayar – elakkan berberlanja melibihi pendapatan anda
• Carilah kad yang menawarkan kos, caj tahunan dan yuran servis yang paling rendah (kalau boleh, yang tiada yuran sama sekali)
• Bayar kesemua baki setiap bulan; tetapi jika ini juga sukar, bayar amaun lebih daripada amaun minima bulanan anda
• Masih bermasalah? Tinggalkan kad anda di rumah atau bekukannnya di dalam peti ais!


Dan peringatan terakhir – gunakanlah kad kredit sebagai alat pembayaran dan bukan untuk kredit percuma. Jika anda tidak dapat menggunakannya dengan waras atau bertanggungjawab, mungkin lebih baik bagi anda untuk hentikan penggunnaannya sama sekali.

Keadaan ekonomi sekarang merupakan waktu yang agak mencabar bagi kita; maka, inilah waktu yang terbaik untuk kita menilai kedudukan kita. Malah, adalah lebih penting untuk kita ketahui di mana kedudukan kewangan kita dan mula meniliti ke mana wang kita dibelanjakan. Jika tidak, kesukaran yang akan kita hadapi bukan hanya untuk bertahan, malah segala matlamat masa hadapan pun mungkin tidak tercapai.

Mengira Nilai Bersih Anda
Langkah permulaan anda adalah untuk mengambil tahu Nilai Bersih anda. Ataupun, dalam bahasa yang mudah, mencari kedudukan kewangan kesuluruhan anda. Mulakanlah dengan senarai aset : harta (dan nilai pasarannya) kepunyaan anda yang boleh dijual. (Lihat Kertas kerja 1: Penyata Nilai Bersih)

Kemudian senaraikan pula liabiliti: baki-baki hutang anda dengan pihak ketiga (bank, syarikat-syarikat kewangan, pusat membeli belah, kad kredit dan sebagainya).

Tolakkan jumlah liabiliti (jumlah dari senarai liabiliti anda) dari jumlah asset (jumlah nilai senarai aset anda), dan anda akan dapati Nilai Bersih anda: inilah satu-satunya nilai yang menentukan kedudukan kewangan anda.

Jika perbezaan antara harta dan hutang anda memberi nilai yang positif, ini bermakna anda mempunyai Nilai Bersih yang positif. Sebaliknya, jika ia didapati negatif, anda sedang menanggung kerugian (“insolvent”).
Analisa Aliran Tunai Bulanan Anda

Selepas mengenalpasti keseluruhan status kewangan anda, langkah yang seterusnya adalah menganalisa pengaliran tunai bulanan anda. Ini akan menunjukkan ke mana arah anda – sama ada anda mengumpul wang, bertahan atau terus dibelenggu hutang. Anda boleh mengetahuinya dengan memeriksa pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. (Lihat Kertas kerja 2: Penyata Aliran Tunai)

Jika anda mempunyai wang lebih pada akhir bulan setelah menjelaskan semua perbelanjaan (ya, kami faham, ramai orang mungkin curiga dapat menhasilkan wang lebih setiap bulan – bak kata “kais pagi makan pagi”), nilai bersih anda akan meningkat, dan anda harus menyimpan atau melaburkan baki yang lebih ini. Sebaliknya pula, jika anda tidak dapat menampung keperluan bulanan, anda harus pula mengubahsuaikan perbelanjaan agar anda dapat membayar semua bil atau komitmen anda.

Tidak kira walau ke mana arah kewangan anda, ketetapan anda untuk memeriksa perbelanjaan anda secara berterusan adalah penting untuk anda berjaya menguruskan wang, terutamanya dalam tempoh yang sukar seperti sekarang.

Berikut adalah beberapa perkara penting untuk dipertimbangkan dalam perbelanjaan utama anda.

Pendidikan

Penidikan merupakan satu perkara penting dalam pertimbangan dalam pelan kewangan anda. Walaupun kita perlu menanggung kos untuk mendapatkan ijazah atau sijil di kolej, perbelanjaan ini biasanya salah satu pelaburan terbaik yang boleh kita dilakukan. Secara purata, seseorang yang memiliki pendidikan yang lebih tinggi dan kemahiran kerja yang memenuhi kehendak pasaran selalunya mendapat pendapatan yang lebih. Mendapatkan pendidikan tambahan adalah salah satu pelaburan terbaik yang harus kita lakukan.

Pengurusan hutang

Pada dasarnya berhutang bukanlah satu idea yang teruk. Yang mencabar tentang berhutang adalah selain membayar semula pokok hutang (jumlah asal yang dipinjam), kita juga harus membayar faedah yang dikenakan atas baki hutang tersebut. Bagi pinjaman 30 tahun untuk perumahan, umpamanya, peminjam akan membayar lebih dua kali ganda nilai pembelian rumah tersebut, disebabkan oleh tambahan yang diperlukan untuk membayar faedahnya. Jadi, jika kita boleh mengelak diri dari meminjam wang, ini adalah lebih baik untuk jangka masa panjang.

Walau bagaimanapun, kita mungkin amat memerlukan pinjaman wang dalam situasi yang lain pula. Anda memerlukan pinjaman samada dalam perniagaan, pembelian rumah atau kereta. Walaupun pinjaman dibuat atas alasan tersebut, adalah lebih baik untuk anda mempunyai sedikit wang tambahan di dalam bajet anda untuk waktu kecemasan. Kecemasan dan perbelanjaan yang tidak terduga selalunya timbul bila-bila masa sahaja.

Oleh itu, anda haruslah berhati-hati sebelum melibatkan diri anda dalam apa-apa komitmen hutang. Hutang yang tidak dilangsaikan serta-merta akan bertambah banyak tanpa disedari anda.

Membeli rumah

Selain kos tambahan yang berkaitan dengan pembelian rumah seperti bayaran pendahuluan (selalunya 10 atau 20 peratus dari harga pembelian) dan yuran ansuran, anda harus membuat pertimbangan mengenai kos urus-selia dan lain-lain yuran yang berkaitan.

Jika anda membuat keputusan untuk menjual rumah anda, bayaran yuran ejen hartanah perlu dibayar terlebih dahulu. Selain itu terdapat juga beberapa kos pentadbiran seperti duti stem, yuran guaman dan sebagainya serta bayaran denda terhadap pinjaman perumahan jika rumah tersebut dijual dalam tempoh wajib (“lock-in period”) pinjaman tersebut. Perkara-perkara ini akan menambah beberapa peratus harga jualan asal. Oleh sebab kos-kos tambahan ini, sesiapa yang ingin membeli rumah hanya untuk tinggal di dalamnya untuk jangkamasa yang pendek dan kemudian menjualnya semula, hendaklah membuat keputusan tersebut dengan pengetahuan kewangan yang waras.

Ciri-ciri lain yang harus dipertimbangkan sebelum membeli rumah adalah keadaan pasaran hartanah (samada nilai rumah-rumah di kawasan tersebut sedang naik atau merosot), lokasi (rumah di lokasi permintaan ramai selalunya boleh dijual dengan sambutan yang lebih baik) dan samada rumah tersebut akan memenuhi keperluan anda dan juga keperluan pembeli yang akan datang.

Pengangkutan atau transpot

Mempunyai kereta sendiri memberi seseorang itu satu kemudahan yang indah, tetapi ia boleh memakan sebahagian besar dari bajet perbelanjaan atau persendirian anda. Jika anda tidak mampu membeli sesebuah kereta, jumlah perbelanjaan yang berkaitan dengannya akan meningkatkan harganya lebih dari harga asal yang disangkakan, apatah lagi perbelanjaan seperti insuran, kos memperbaiki & penjagaan dan bayaran ansuran pinjaman. Memandangkan juga kenaikan harga minyak sekarang, menggunakan pengangkutan awam (bas, LRT, komuter, dsb.) mungkin menjadi pilihan yang lebih munasabah. Walaupun tidak semudah menaiki kereta sendiri, pilihan ini tetap lebih murah.

Tetapi jika kita tiada pilihan lain dan terpaksa membeli kereta oleh sebab ketiadaan pengangkutan awam di kawasan tinggal atau disebabkan alasan-alasan sah yang lain, kita mesti pastikan kemampuan kita untuk membayar segala kos-kos yang terlibat, terutamanya kos minyak dan penyelenggaraannya.

Makanan

Kos makanan merupakan satu lagi bahagian utama dalam bajet sesuatu keluarga. Secara am, membeli secara borong kemudian menyediakan makanan di rumah adalah lebih menjimatkan daripada membeli barang makanan yang telah diproses dan makan luar di restoran. Tambahan pula, ramai keluarga mendapati bahawa menyara kebun atau tapak tanaman sayur-sayuran sendiri juga membantu dalam mengurus bajet makanan mereka.

Pakaian

Kita tidak dapat menafikan bahawa setiap orang perlukan pakaian; sebaliknya, di sini juga kita berpeluang untuk berjimat cermat. Jika kita merancang pakaian yang akan memenuhi almari kita, bajet pakaian dapatlah dikawal, dan tidaklah berlebihan kerana membeli sesuka hati pada bila-bila masa.

Membeli pakaian yang berkualiti, dan bergaya tradisional boleh menjimatkan dalam jangkamasa yang agak panjang. Pakaian sebegitu boleh tahan lama dan akan bertahan melalui dunia fesyen yang sering berubah; pendekatan ini lebih murah dalam masa panjang daripada membeli pakaian yang kurang berkualiti atau yang mengikuti fesyen terkini.

Simpanan

Tidak ketinggalan pula, kita harus fokus kepada tabiat menyimpan wang. Walaupun simpanan sering dianggap sebagai suatu yang mewah, ia sepatutnya dari awal lagi dimasukkan dalam bajet setiap rumahtangga. Sebabnya mudah sahaja: Waktu-waktu kecemasan atau perbelanjaan yang tidak diduga akan timbul pada bila-bila masa sahaja. Dengan adanya simpanan, kita sudahpun bersedia untuk mengurangkan kesan malapetaka itu. Dari sudut aspek ini juga, simpanan wang boleh dianggapkan sebagai perbelanjaan yang ditangguh untuk masa hadapan.

Selain dari mengadakan dana simpanan untuk kecemasan, banyak lagi alasan yang boleh diberi bagi menyimpan wang, seperti perbelanjaan dirancang untuk membeli rumah, kereta, barang-barang persendirian, rancangan pendidikan dan juga matlamat untuk meninggalkan dana pusaka. Kesemua matlamat-matlamat kewangan ini memerlukan satu elemen yang sama, iaitu disiplin diri untuk tetap menyimpan sejumlah amaun minima, malah amaun yang semakin bertambah, ke arah dana simpanan anda.

Anda juga harus awasi berbagai-bagai kaedah periklanan yang mencuba mengubah minda anda ke arah yang berlawanan. Mereka sentiasa memberi galakan untuk “beli sekarang, bayar kemudian” dan pandai pula menipu minda anda dengan anggapan bahawa gaya hidup serba mewah ini adalah sebenarnya ganjaran hidup anda. Disiplin diri untuk menyimpan wang, dan pemikiran waras yang mengetahui waktu yang sesuai untuk membeli-belah, adalah asas terpenting dalam usaha anda untuk membina dana kewangan masa hadapan yang berjaya.

Kami berharap, kami telah dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan yang bermanfaat untuk memperbaiki pengurusan Aliran Tunai anda, dan juga meninggikan tahap Nilai Bersih anda. Pada minggu hadapan, kita akan menemui pula topik yang boleh memberi anda pendekatan untuk bertahan dalam zaman inflasi ini.

SELAMAT BERBELANJA DENGAN BERHEMAH